Wednesday, October 1, 2008

SALAM EIDULFITRI 1429H, SALAM KEAMANAN BUAT UMAT MANUSIA






Pixel Code Graphics



SALAM EIDULFITRI 1429H BUAT KELUARGAKU

Saya ingin mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri1429H, ampun dan maafkan segala silap salahku... kepada ibu tercinta, Hajah Munah bte Saamah, Bonda Hajah Hasmah bte Awang..ibu mentua tiada dua di dunia ini, isteri tercinta..Kembang dan anak-anakku, semua kekandaku, Hajah Rafiah, Hajah Ruhana, Noorizan, Normah, Norihan serta dua backup lelaki keluargaku Nasri dan Fouzi, ipar-iparku yang dihormati adinda Jailami, Hamilah, Insijam, Nasirah, Rabihah (ehem...), Nur Aini, Asruf, Uzaini, Auzan dan Abd. Muqit, biras-birasku yang seperti adik beradikku, Abg Lah,Mizi,Amir,Din,Zul, Jamal,Ina dan deretan anak-anak buahku yang sangat dikasihi dan disayangi..YEAAAA!!!!Pak Long dah mari!!..Pak Long dah mari!!! (menitis air mataku mendengar sorakan mereka pada malam raya..agak lewat sikit sampai, dah janji nak main bunga api) Inilah duniaku, dunia keluargaku, aku sanggup berkorban jiwa raga untuk mereka.

Monday, September 22, 2008

Makna IdulFitri Bagi Pejuang Islam Di Afghanistan





Dalam Keberkatan dan Rahmat Allah di bulan Ramadhan 1429H, pejuang-pejuang Mujahiddin Afghanistan berjuang bermati-matian menentang kuffar Amerika. Sampai masa berbuka, makanan mereka cuma apa yang ada di depan mata. Tiada makna kekenyangan, tiada santapan juadah, yang ada cuma bayangan..ahli-ahli keluarga yang mati akibat kekejaman Amerika. Mereka tiada pilihan lain lain selain menyahut seruan Jihad Fisabilillah..

Saturday, September 20, 2008

Lailatul Qdar..Pengampunan Sejati..



"Wahai Aishah, sekiranya kamu ditemukan Allah dengan malam Qadar, maka perbanyakkan doa memohon kepada Allah..Ya Allah! Tuhan yang Maha Pengampun lagi Maha Mulia, Ampunkanlah dosa-dosaku.”

Sunday, September 14, 2008

Kekejaman Israel melampaui batas-batas kemanusiaan..

Semoga qasidah Habib Abdullah Hadad (pujian utk rasulullah) ini akan menyegarkan jiwa kita untuk menghayati penderitaan anak-anak ini..



Ya Allah..puteri-puteri Islam, masih kecil tetapi kuat semangat jihadnya, menentang Israel dengan lapar dan dahaga..Ramadhan 1429H menyaksikan penentangan berterusan rakyat Gaza terhadap kekejaman Israel


Masih Terdapat 340 orang kanak-kanak Palestin di penjara Israel

Ramallah – Sehingga Sabtu, 13 September 2008 / 13 Ramadhan 1429H terdapat kira-kira 340 orang kanak-kanak palestin yang dipenjarakan di Israel

Lembaga Waid untuk Tahanan di Palestin menegaskan bahawa pemerintah Israel pernah menangkap dan menahan lebih dari 3500 kanak-kanak sejak Intifadlah. Kini mereka masih menahan 340 yang tersebar di penjara-penjara yang ada.

Jumlah itu terbahagi sebagaimana berikut; 104 org kanak-kanak di penjara Talmud, di Auvar 80 org, di Naqab 38 org, di Magedo 45 org dan bakinya di pusat-pusat investigasi Israel. Di samping itu seramai 312 kanak-kanak yang sudah dijatuhi pelbagai jenis hukuman dan 107 masih menunggu giliran manakala 10 org ditahan dengan status tahanan pentadbiran.

27 org daripada mereka berusia bawah 15 tahun , dua tahanan belum berusia 13 tahun, 150 ditahan di bawah usia 18 tahun dan 99 peratus drp mereka dijatuhi siksaan 'ringan' iaitu kepalanya dibungkus dengan guni dan dipukul.

Secara rasminya, undang-undang Israel membolehkan penahanan kanak-kanak di bawah umur 16 tahun. Hal ini bertentangan dengan Konvensyen Geneva-PBB (pasal 1)
Lembaga Waid menegaskan bahwa Israel tidak mengambil kira aspek kesihatan anak-anak Palestin yang mereka tahan. Semua penyakit yang dialami oleh tahanan Palestin dirawat dengan sederhana.

Laporan berita ini jelas menggambarkan kepada kita betapa kanak-kanak palestin masih menjadi buruan dan bahan siksaan dan ugutan oleh Israel. Hal ini sebenarnya jelas bertentangan dengan undang-undang antarabangsa yang berkaitan dengan keselamatan dan perlindungan terhadap kanak-kanak. Tetapi siapakah Israel yang akan mematuhi undang-undang antarabangsa? Zionis Israel sekali-kali tidak akan berkompromi walau sedikitpun apabila berhadapan dengan isu rakyat palestin. Walaupun rakyat palestin itu hanya kanak-kanak yang masih kecil...

Saturday, September 6, 2008

Zionis Israel Rancang Mengebom Masjidil Aqsa Ramadhan ini









Jumaat, 5 Sept 2008 / 5 Ramadhan 1429H

Israel rancang melancarkan serangan peluru roket ke atas Masjidil Aqsa Dalam bulan Ramadhan ini. Berita ini telah disahkan oleh Kementerian Wakaf di Gaza Rabu lalu di samping mendesak Kementerian luar Arab agar segera bersiap mempertahankan masjid suci itu. Kementerian Luar Arab?..Mana OIC? Kalau tidak Hamas dan Hizbullah, siapa lagi yang boleh diharapkan..

Pertubuhan Hamas membuat kenyataan Rabu lalu bahawa perjanjian damai yang diharapkan oleh rakyat Palestin untuk memecah kepungan dan menghentikan keganasan telah gagal mencapai matlamatnya, khususnya di dalam menghentikan kepungan. " Rakyat Palestin semakin terhimpit terutama pada bulan Ramadhan ini. Dr. Mohamed Al-Madhoun, ketua biro kakitangan awam, merayu kepada Amir Qatar Sheikh Hamad Al Thani dan negara-negara penderma yang memberi pembiayaan kepada Palestin untuk pembayaran gaji kakitangan awam, supaya membuat susulan ke mana dana-dana tersebut diagihkan.

Tuesday, September 2, 2008

Sejauh mana kita mengenali Zionis, setakat mana kita mengikuti perkembangan perancangan mereka..






.Sejarah dan Paradigma
(Luangkan sedikit masa tuan-tuan untuk menyelidiki tentang zionis dan perancangan mereka)

Kita tahu siapa Yahudi. Kita tahu zionis, tetapi kita tidak punya masa untuk membaca walaupun seketika tentang mereka. Telah lama kita menyedari perancangan mereka tetapi kita tiada masa untuk mengikuti perkembangan rancangan2 mereka. Tuan-tuan, Yahudi TIDAK pernah leka dan lalai. Perancangan mereka terus dan tetap berjalan dengan jayanya. Lihat saja perkembangan terakhir yang berlaku di Palestin. Tuan-tuan akan terkejut. Percayalah, untuk membaca satu petikan pendek tentang Yahudi pun kita berkira masa ataupun malas terus ( lebih-lebih lagi dalam bulan longlai dan mengantuk ni..)
Oleh hal yang demikian, sempena kedatangan Ramadhan 1429H ini, perbaharui motivasi kita, tambahkan tekad untuk sekurang-kurangnya mengetahui perancangan jahat Yahudi dan Zionis terhadap dunia Islam.
Golongan Zionis merupakan golongan yang memiliki wawasan yang amat jelas, wawasan mereka dijadikan protokol dan aqidah yang diajar kepada generasi mereka dengan mengubah fakta-fakta sejarah bagi menyokong wawasan mereka.Penyelewengan fakta sejarah merupakan satu agenda yang disengajakan dan hingga kini umat Islam masih mengajar sejarah Islam mengikut kacamata orientalis.
Antony Robin menulis dalam menegaskan ciri-ciri kejayaan antaranya ialah ; menjadikan orang yang telah berjaya sebagai contoh. Iaitu dengan meniru caranya berfikir, emosi, tindakan, gaya hidup secara 100%. Ilmuan Barat amat mengetahui kekuatan sejarah. Al-Quran menyatakannya dengan istilah qudwah hasanah. Ini adalah dapatan yang saintifik pada orang Barat tetapi ia adalah aqidah bagi umat Islam. Umat kini tidak boleh diperbaiki melainkan dengan kaedah umat terdahulu diperbaiki.Kaedah dan cara itu terdapat dalam sejarah sama ada di dalam al-Quran, sunnah dan sirah Rasulullah s.a.w.

Malangnya umat Islam tidak memahami kekuatan ini dengan betul akibat penyelewengan dalam fakta sejarah dan cara sejarah itu diajarkan. Semua ciptaan benda di dunia ini tidak bermula daripada kosong tetapi dengan mengemas kini ciptaan orang-orang terdahulu. Inilah sejarah. Sesuatu kejayaan bukan kebetulan tetapi lahir dengan perancangan yang betul.
Faktor penting dalam perancangan ialah mengambil kira pengalaman lalu. Pengalaman lalu adalah sejarah.Sejarah kejayaan akan berulang jika kita ulangi faktor-faktor yang menjadikannya sesuatu generasi itu berjaya. Hatta pembukaan baitul Maqdis di zaman Salahuddin al-Ayubi adalah dengan mengulangi strategi kejayaan tentera Islam zaman Umar al-Khattab.

Kalau ada di kalangan saintis hari ini ingin mencipta cip komputer tetapi tidak mengetahui dengan terperinci sejarah cip itu diciptakan mungkin beliau perlu memulakannya sebagaimana mesin itu diciptakan buat pertama kalinya yang bentuknya sebesar rumah. Hari ini cip hanya diciptakan daripada pasir dan `gate’nya dibuka dan ditutup menggunakan teori cas positif dan negatif yang memberi kelajuan tinggi melebihi teori digit algebra.
Adakah Yahudi mendedahkan sejarah ciptaan ini? Yahudi mengawal ciptaan mereka dengan pelbagai akta yang dipaksakan kepada dunia melalui undang-undang antarabangsa, tetapi mereka juga tidak bermula dengan kosong tanpa mempelajari sejarah penemuan ilmuan Islam.
Zionis mengisytiharkan perang ke atas Islam sejak sebelum lahirnya nabi Muhammad s.a.w. lagi. Peperangan berterusan di setiap zaman dengan strategi yang dipertingkatkan hasil daripada pengalaman menghadapi kekalahan demi kekalahan. Oleh kerana mereka mempunyai wawasan yang jelas dengan sifat bebal dan degil yang diwarisi daripada Iblis, mereka tidak akan mengaku kalah sehingga semua umat manusia dapat dibawa bersama mereka ke dalam neraka Allah.

Peperangan zaman ini adalah peperangan maklumat. Bangsa yang menerima maklumat yang disogokkan oleh musuh tanpa rasa prejudis terhadap musuh adalah bangsa yang sudah tertawan.Lihatlah pada umat Islam hari ini apakah mereka memahami sejarah Adam, Hawa dan Iblis dengan betul? Apakah mereka memahami sejarah pertembungan yang begitu lama ini? Adakah mereka memahami kenapa Allah mengulang-ulang kisah sejarah ini dalam al-Quran? Adakah mereka mengetahui secara terperinci apakah yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. selama 13 tahun di Mekah dan 10 tahun di Madinah? Apakah sejarah 13 tahun nabi di Mekah pada zaman nabi berada di bawah sistem pemerintahan kuasa Jahiliyah sedangkan banyak fakta sejarah itu dimuatkan Allah dalam al-Quran.

Sejarah peperangan Badar, peperangan Uhud, perang Khandak, perang Hunain, perjanjian Hudaibiah dan sebagainya ada di-dalam al-Quran malah Allah menjelaskan faktor-faktor kejayaan umat Islam dalam peperangan Badar dan kekalahan umat Islam dalam peperangan Uhud dan Hunain.

Malangnya paradiqma umat Islam hari ini terjajah kerana mereka tidak memahami sejarah. Inilah kejayaan Yahudi. Mereka tahu seorang saintis tidak mungkin menjadi saintis yang berjaya jika mereka tidak memahami sejarah benda yang mereka pelajari. Kejayaan nabi merubah manusia, membina daulah, membina asas sistem khalifah adalah kejayaan yang ada sebab-sebab yang tertentu yang tersimpan dalam sejarah. Apabila umat kini mengkajinya secara saintifik, menganalisa dan membuat pemerhatian dengan insaf mereka akan menemui faktor-faktor kejayaan itu.Apabila kita mengikut pemikiran, emosi dan tindakan Rasulullah s.a.w. 100% sejarah akan berulang.

Hassan al-Banna berkata: ”Sesuatu fikrah hanya akan berjaya apabila kuat keyakinan kita kepada fikrah tersebut…” bersambung...




Sunday, August 31, 2008

Alunan Azan Saad Numani memukau dunia..

Saad Numani memukau seluruh dunia Islam dengan alunan azannya yang menusuk kalbu dan jiwa...




more about "Alunan Azan Saad Numani memukau dunia..", posted with vodpod

Imam Masjidilharam Syeikh Mahir

Sempena Ramadhan, hayatilah Assajadah oleh imam Syeikh Mahir Dari Masjidilharam. Dorongan dalam diri kita untuk muncul sebagai pendidik beriman boleh terbuka dengan alunan dan penghayatan isi surah Al-Quran, insyaAllah.




more about "Imam Masjidilharam Syeikh Mahir", posted with vodpod

Bersyukurlah..kita masih bernyawa pada Ramadhan ini..



Sempena ketibaan bulan Ramadhan 1429H, saya mengucapkan selamat berpuasa kepada para pembaca sekalian. Semoga kita dapat mengambil peluang dengan kedatangan bulan rahmat dan maghfirah ini. Bulan yang diberi peluang oleh Allah untuk mendapatkan maghfirah-Nya, iaitu dengan puasa dan qiyam. Sabda Nabi SAW: “Sesiapa berpuasa Ramadhan dengan keimanan dan mengharapkan ganjaran, maka diampunkan dosa-dosanya yang lalu”. (Bukhari: 38, dan Muslim: 760). Sabda Nabi SAW lagi, “Sesiapa mendirikan malam (dengan ibadah) pada Ramadhan dengan keimanan dan mengharapkan ganjaran, maka diampunkan dosa-dosanya yang lalu”. (Bukhari: 37, dan Muslim: 759).


Maka bertuahlah sesiapa yang menahan lapar dan dahaga kerana Allah. Bertuahlah sesiapa yang menahan matanya berjaga malam kerana berdiri menghadap Allah. Dan bertuahlah sesiapa yang keluar daripada bulan ini dengan mendapat keampunan daripada-Nya. Mari sama-sama bermohon kepada Allah dengan segala nama-namaNya yang maha elok, dan sfat-sifatNya yang maha tinggi, supaya memberikan kita kekuatan untuk merebut peluang ini.


Oleh hal yang demikian, dengan keberkatan dan kemuliaan Ramadhan 1429H, adalah sesuatu yang amat merugikan kepada kita semua jika masih menyimpan bara konflik di dalam diri. Kita telah diberi kesempatan, saya ulang..kita TELAH DIBERI KESEMPATAN oleh Allah SWT untuk bernyawa pada Ramadhan ini. Tidakkah kita terfikir berapa ramai umat manusia yang TIDAK BERKESEMPATAN untuk menghirup udara Ramadhan 1429H? Berapa ramaikah rakan-rakan kita yang telah meninggalkan dunia yang fana ini dan tidak berkesempatan menemui Ramadhan 1429H? Kita ialah antara manusia umat Muhammad yang sangat bertuah kerana berjaya hidup setakat ini dalam keadaan yang aman bahagia dan sejahtera. Inilah prinsip asas kerendahan diri kita sebagai manusia. Tunduklah dan lihatlah bumi Allah. Betapa kerdilnya kita. Betapa lemahnya kita. Masih sanggupkah kita berlagak angkuh dengan pegangan dan prinsip yang sangat rapuh? Masih relakah kita menyimpan bara api konflik yang tidak padam-padam itu.

Tuan-tuan...siramilah bara itu. Padamkan api yang masih menyala. Hayatilah ketibaan Ramadhan 1429H dengan rasa khusyuk dan tawadhuk.


Selamat Berpuasa.

Thursday, August 21, 2008

Kembali kepada Allah dan Rasul


"Sabarlah... kita guru, kerja buat kita mulia, kita mendidik. Tak usah berbalahlah..ingat Allah selalu"
Tuan-tuan yang mulia,
Pesanan dari Kalamullah ( intipati )

" Sesungguhnya orang mukmin itu adalah bersaudara maka (jika mereka berkonflik) damaikanlah antara kedua-dua saudaramu..(49:10, 4:135)
"..dan apabila kamu menghakimi antara manusia hendaklah kamu berlaku adil..." (4:58)

" Wahai orang-orang beriman, jika kamu bertelagah atau berlainan pendapat tentang sesuatu, kembalikanlah ia kepada Allah (al-Quran) dan Rasul (sunnah) jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian itu adalah lebih baik bagimu dan lebih baik akibatnya (4:59), ( lihat juga 4:65)


Inilah maksudnya apabila saya mengesyorkan kembali kepada agama. Kita sebenarnya tiada pilihan lain selain dari apa yang dianjurkan oleh Islam. Sebagai manusia yang menganggotai sesebuah organisasi terutamanya organisasi pendidikan, kita sering terdedah dengan konflik dan saban waktu emosi dan fikiran kita terganggu oleh kerenah pengurusan dan birokrasi. Kita sering kali tertindas dan ditekan dari pelbagai sudut ketidakadilan. Kita dicabar dengan pelbagai situasi dan keadaan.

Oleh hal yang demikian, siapapun kita, kita perlu menetapkan komitmen yang utuh dan jitu bagi menghadapi cabaran besar dan hebat itu. Agama kita selalu menganjurkan agar tahap kesabaran perlu mengatasi api kemarahan. Hal ini lumrah. Bukankah kita sudah dewasa dengan kerenah birokrasi. Kita bukan anak-anak kecil yang tidak tahu sepak terajang politik pendidikan. Malah kita sering kali berada di pihak yang ditekan dan bukankah kita masih boleh meneruskan kehidupan ini dengan jayanya sehingga ke peringkat ini. Mengapa tiba-tiba kita sanggup membiarkan emosi menguasai diri? Mengapa tiba-tiba kita bagai kehilangan punca? Bukankah kita sudah cukup matang untuk berdepan dengan segala tekanan dan cabaran? Kita ingin lari? ke mana kita hendak pergi? Adakah agama kita menganjurkan demikian? Rasulullah berhijrah bukan lari. Itu dua perkara yang langsung tidak sama. Kita perlu berada di situ untuk memulihkan keadaan. Meninggalkan tempat itu dengan alasan perbezaan pendapat, hanya akan mendedahkan kita kepada cemuhan bahawa kita lemah. Pilihlah permuafakatan seperti yang dianjurkan oleh Islam. Tuan-tuan ialah manusia pilihan Allah yang cukup kuat dan matang. Sebab itu tuan-tuan dipilih sebagai pentadbir.

Peranan orang tengah perlu berfungsi sebagai syura (consultation), iaitu cara utama penyelesaian sebarang perbezaan dan konflik. Konsep syura adalah meliputi proses perbincangan dan perundingan yang menjadikan asas kompromi dan permuafakatan sebagai jalan terbaik menyelesaikan kekusutan. Pendapat-pendapat dari sarjana Barat tentang cara penyelesaian konflik agak berbeza dengan konsep Islam.

Islam meletakkan asas perundingan dan permuafakatan sebagai landasan kukuh sedangkan idea-idea barat lebih mendasari konsep tindakan dan hukuman. Bagi kita, siapa yang bersalah, siapa yang menjadi punca, itu semua bukan kaedah menyelesaikan konflik. Permuafakatan tidak akan dapat dicapai jika kita membuat pertuduhan. Apatah lagi jika pertuduhan itu tiada asas kebenaran. Oleh itu jangan buat pertuduhan jika ingin mencari persepakatan dan permuafakatan. Inilah peranan orang tengah sebagai penganjur syura.

Masih ada jalan...

Datuk Alimuddin Mohd Dom, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia
"Pengurusan tertinggi organisasi pendidikan perlu menyelesaikan sendiri konflik yang dihadapi.."

Berjumpa kembali.
Sebarang konflik, terutama yang melibatkan organisasi masih boleh diselesaikan dengan kaedah perundingan dan penyatuan fikiran. Itupun jika pihak-pihak yang berkonflik mahu mencari jalan penyelesaian. Jika tidak, konflik hanya akan menyebabkan organisasi dilanda permasalahan yang besar dan bergerak menuju kegagalan. Oleh hal yang demikian, jika konflik sudah merekah dan merebak. Tambahan pula ahli-ahli organisasi sudah mengetahui dengan jelas siapa yang berkonflik dan apakah punca konflik tersebut, tidak ada jalan lain selain mencari penyelesaian. Piahk-pihak yang berkonflik, terutama mereka yang berada di peringkat atasan/pengurusan tidak wajar membiarkan ahli-ahli organisasi berada di dalam keadaan yang serba salah dan syak wasangka. Mereka perlu mencari jalan keluar agar perjalanan organisasi dapat diteruskan.

Sebagai penawar kepada bara konflik yang membelenggu mereka, pihak-pihak yang berkonflik bolehlah kembali kepada asas kompromi yang mudah iaitu menjadikan agama sebagai cara terbaik untuk menyelesaikan masalah. Ini sahaja jalan yang ada dan yang terbaik pada peringkat permulaan. Sesiapa sahaja yang berkonflik boleh menggunakan kaedah ini sebagai penawar awal. Penawar adalah perkara penting bagi setiap bisa akibat gigitan konflik. Jadi, jangan malu untuk berkompromi dan jadikan agama kita sebagai penawar kepada bara konflik yang melanda. Ingatlah, kita ada urusan yang sangat penting untuk diselesaikan. Jangan biarkan konflik dalaman mengganggu kerja-kerja kita yang lebih penting.


Untuk tulisan yang akan datang saya akan membicarakan tentang peranan 'orang tengah' dalam penyelesaian konflik organisasi.

Wednesday, August 20, 2008

Konflik Organisasi : Carilah penyelesaian terbaik

Konflik di dalam organisasi ialah duri di dalam daging yang jika dibiarkan akan menjadi parah dan akhirnya boleh menyebabkan kegagalan sesebuah organisasi untuk menjalankan operasinya dengan berkesan. Semua organisasi tidak dapat menghindari konflik. Konflik ialah perkara lumrah. Walaupun begitu, kaedah menangani sesuatu konflik memerlukan kebijaksanaan dan kemahiran yang tinggi. Pihak pengurusan perlu mengatur strategi dan teknik yang betul dan berkesan apabila berhadapan dengan konflik. Di dalam sesebuah organisasi, konflik boleh berlaku di pelbagai peringkat sama ada di peringkat atasan, pertengahan mahupun peringkat bawahan. Konflik yang timbul secara horizontal lebih mudah ditangani berbanding dengan jenis konflik yang berlaku secara vertikal. Ahli-ahli yang berkonflik dalam peringkat yang sama boleh mencari penyelesaian melalui kaedah kesamarataan dan kestabilan idea. Selalunya konflik jenis ini akan berakhirnya dengan penyelesaian yang baik. Walau bagaimanapun jika konflik yang melibatkan ahli-ahli organisasi di peringkat yang berbeza ( vertical conflic ), masalah akan menjadi lebih rumit dan sukar dileraikan. Hal inilah yang ingin saya kupas dan organisasi yang saya pilih ialah organisasi pendidikan iaitu sekolah.

Sunday, August 17, 2008

Sedikit info tentang Nisfu Syaaban...

Bagi guru-guru kita yang 'terover' ghairah menyambut Nisfu Syaaban, saya nukilkan sedikit info buat tatapan dan renungan bersama...

Info ini panjang sikit huraiannya, tetapi tak apalah, ilmu kalau pendek, tak berapa jelira..

Sebagaimana telah kita ketahui apabila tibanya malam 15 Sya’aban, ramai yang akan ke masjid untuk solat jemaah dan membaca yasin sebanyak 3 kali. Tetapi tahukah kita dari mana amalan itu berasal? Sedangkan kita tahu, bahawa sesuatu ibadah khusus yang dilakukan jika tiada amalan atau dalil dari nabi Muhammad S.a.w maka dikira bid’ah. Persoalannya mengapa perlu dilakukan sebanyak 3 kali dan dikhususkan pada malam tersebut? Sedangkan bacaan Yasin boleh dilakukan pada bila-bila masa dan tidak terhad kepada berapa kali.

Seperti yang selalu saya lihat, bacaan Yasin yang dibuat sebanyak 3 kali itu dilakukan dengan pantas dan terkejar-kejar. Mungkin ianya sesuai dengan orang yang sudah mahir membaca Qasar, tetapi bagaimana dengan mereka yang tidak mahir dengan bacaan Qasar lebih-lebih lagi bagi yang tidak mahir membaca AlQuran bertajwid. Tidakkah itu sudah menjadi tunggang-langgang dan tidak berlaku dalam keadaan yang tenang. Apakah bagus membaca AlQuran dalam keadaan tergesa-gesa dan salah tajwidnya? Apakah hikmah di sebalik tergesa-gesa dan tidak faham apa yang dibaca itu?

Sebenarnya tiada hadith yang sahih yang memberitahu tentang bacaan yasin 3 kali pada malam nisfu Syaaban ini dan jika ada pun, ianya adalah hadith berkenaan kelebihan malam nisfu Syaaban yang dhaif dan juga terdapat dalam hadith maudhu’ (palsu). Walau bagaimanapun ada sebahagian ulama berpendapat hadis dhaif boleh dipegang dalam amalan sunat secara perseorangan. Tetapi tidak sekali-kali dengan hadith maudhu’. Ingat, hadith maudhu’ maknanya hadith PALSU, dan hadith PALSU hanyalah hadith yang direka-reka oleh golongan tertentu. Dengan kerana itu, adalah penting agar kita berhati-hati dalam memahami martabat sesuatu hadith itu.

Namun , dalam soal bacaan Yasin sebanyak 3 kali dalam nisfu Syaaban tetap tidak ada hadith yang sahih berkenaannya dan amalan tersebut tiada ditunjukkan contoh langsung oleh nabi dan sahabat. Maka mengapa kita sekarang ini mengadakan majlis tersebut di masjid-masjid apabila tibanya malam nisfu Syaaban sahaja? Mengapa perlu menetapkan malam itu untuk membaca Yasin 3 kali dan berduyun-duyun menuju ke masjid sedangkan malam lain tidak? Itu yang perlu diperhati bersama. Amalan ibadah khusus yang bukannya berasal dari nabi sudah dikira bid’ah dan dibimbangi amalan itu akan menjadi penat dan lelah semata-mata seperti fatwa yang dikeluarkan oleh Syeikh Abdul Aziz bin Baaz; amalan itu dikira bid’ah.

Fatwa tentang merayakan malam Nisfu Syaaban : bacaan yasin

Umat Islam di Malaysia umumnya menyambut malam nisfu Syaaban ( 15hb Syaaban) dengan mengadakan majlis membaca surah Yasin sebanyak tiga kali selepas solat Maghrib. Di celah-celah bacaan Yasin ini diselitkan dengan bacaan doa seperti , selepas bacaan Yasin pertama dengan doa untuk diselamatkan dunia akhirat, selepas bacaan Yasin kedua doa supaya dipanjangkan umur dalam keberkatan dan selepas bacaan Yasin ketiga doa supaya dianugerahkan rezeki yang halal.

Diperhatikan bahawa amalan sambutan Nisfu Syaaban yang kaifiatnya sebegini tidak diamalkan di tempat lain di seluruh dunia. Tidak hairanlah tiada fatwa yang dikeluarkan oleh Ulama muktabar dunia masa kini tentang sahih batilnya amalan ini. Kita beramal dan beribadat adalah untuk mendapat pahala dan kebaikan . Amalan ini hendaklah ada contohnya dari Rasulullah s.a.w. atau sahabat-sahabat atau ada petunjuk yang jelas dari al-Quran dan as-sunnah . Amalan mengkhususkan bacaan dan doa tertentu pada sesuatu masa tanpa nas yang sahih adalah amalan bidaah yang tertolak dan dikhuatiri berdosa; setidak-tidaknya ia akan membazirkan masa dan memenatkan badan.

Kita boleh membaca surah Yasin sebanyak mungkin pada bila-bila masa untuk mendapat pahala tetapi tidak dengan mengkhususkan kepada malam nisfu Syabaan dan dengan bilangan tiga kali. Kita digalakkan berdoa apa saja kepada Allah s.w.t untuk kebaikan dunia dan di akhirat tetapi tidak perlu dikhususkan di celah-celah bacaan Yasin di malam nisfu Syaaban. Dan kita boleh membaca surah Yasin dan berdoa bersendirian, di mana-mana dan bila-bila saja dan tidak perlu berkampung di masjid-masjid dengan harapan mendapat ganjaran istimewa dari Allah s.w.t.

Berikut adalah fatwa yang dikeluarkan oleh seorang ulama terkemuka di Timur Tengah untuk menjelaskan tentang amalan bidaah di malam nisfu Syaaban. Perhatikan bahawa beliau tidak menyebut amalan membaca Yasin dan doa-doa yang mengiringinya kerana amalan tersebut tidak diamalkan oleh penduduk di Timur Tengah atau di bahagian lain dunia Islam. Boleh dikatakan bahawa amalan baca Yasin dan doa ini adalah sebahagian dari sekian banyak amalan bidaah ciptaan rakyat tempatan khusus untuk amalan penduduk nusantara ini!

Dalam kitab al-Sahihain diriwayatkan daripada `Aisyah (r.a) bahawa Rasulullah (s.a.w) pernah bersabda: “barangsiapa mengada-adakan perkara baru dalam urusan (agama) kita ini yang mana bukan sebahagian daripadanya, akan tertolak.”
Dalam Sahih Muslim diriwayatkan daripada Jabir r.a, Nabi (s.a.w) bersabda dalam khutbah Baginda: “Tetaplah kamu dengan Sunnahku dan Sunnah para Khulafa’ ar-Rasyidin, serta berpegang teguhlah padanya… Berwaspadalah terhadap perkara yang baru diada-adakan, kerana setiap perkara baru adalah bid’ah dan setiap perkara bid’ah itu adalah sesat.” Terdapat banyak lagi ayat Qur’an dan hadis yang seumpamanya.

Hal ini jelas sekali menunjukkan bahawa Allah telah sempurnakan agama umat ini, dan mencukupkan nikmat-Nya ke atas mereka. Tuhan tidak mengambil nyawa Rasul-Nya sehinggalah Baginda selesai menyampaikan perutusan dengan seterang-terangnya dan menghuraikan kepada ummah segala apa yang telah diperintahkan Allah samada amalan perbuatan mahupun percakapan. Baginda s.a.w telah menerangkan bahawa untuk ibadah yang direka selepas kewafatan Baginda, segala bacaan dan amalan yang kononnya dilakukan menurut Islam, kesemua ini akan dicampakkan kembali kepada orang yang mencipta amalan tersebut, meskipun ia berniat baik.

Para Sahabat Nabi s.a.w tahu tentang hakikat ini, begitu juga para salaf selepas mereka. Mereka mengecam bid’ah dan menegahnya, sebagaimana telah dicatatkan dalam kitab-kitab yang menyanjung Sunnah dan mengecam bid’ah, ditulis oleh bin Waddah, al-Tartushi, bin Shamah dan lain-lain.

Antara amalan bid’ah yang direka manusia ialah menyambut hari pertengahan dalam bulan Syaaban (Nisfu Syaaban), dan menganjurkan puasa pada hari tersebut. Tidak ada nas (dalil) yang boleh dipercayai tentang puasa ini. Ada beberapa hadis dhaif telah dirujuk tentang fadhilat puasa ini, tetapi ianya tidak boleh dijadikan pegangan. Hadis-hadis diriwayatkan mengenai fadhilat doa sempena nisfu Syaaban kesemuanya adalah maudhu’ (rekaan semata-mata), sebagaimana telah diperjelaskan oleh sebahagian besar alim ulama. Kita akan lihat beberapa petikan dari ulasan para alim ulama ini.

Beberapa riwayat tentang hal ini telah dinukilkan daripada sebahagian ulama salaf di Syria dan lain-lain. Menurut jumhur ulama, menyambut nisfu Syaaban adalah bid’ah, dan hadis-hadis tentang fadhilat-fadhilat berkenaan hari tersebut adalah dhaif (lemah), sebahagian besar yang lain pula adalah maudhu’ (rekaan). Antara ulama yang memperjelaskan hal ini adalah al-Haafiz bin Rejab, di dalam kitabnya Lataa’if al-Ma’aarif, dan lain-lain. Hadis-hadis dha`if berkenaan ibadah hanya boleh diterimapakai untuk amalan ibadat yang terdapat menerusi nas-nas yang Sahih. Tidak ada asas yang Sahih bagi sambutan nisfu Syaaban, oleh itu hadis-hadis dha`if tersebut tidak dapat digunapakai.

Al-Hafiz bin Rejab (R.A) menyebut di dalam kitabnya Lataa’if al-Ma’aarif tentang isu ini – setelah membincangkannya secara panjang lebar – “Malam Nisfu Syaaban asalnya diutamakan oleh golongan Tabi’in di kalangan penduduk Sham, antaranya Khalid bin Mi’dan, Makhul, Luqman bin ‘Amir dan lain-lain, di mana mereka beribadah bersungguh-sungguh pada malam tersebut. Orang awam menganggap bahawa malam tersebut adalah mulia kerana perbuatan mereka ini. Disebutkan bahawa mereka telah mendengar riwayat-riwayat Israiliyyat berkenaan kelebihan malam tersebut, sedangkan jumhur ulama di Hijaz menolak kesahihan riwayat ini, antara mereka adalah ‘Ata’ dan Ibnu Abi Malikah. ‘Abdul Rahman bin Zaid bin Aslam meriwayatkan fatwa ini daripada fuqaha’ (Ulama Ahli Fiqh) di Madinah, dan inilah pandangan ulama-ulama Maliki dan lain-lain. Kata mereka: semua ini adalah bid’ah.

Imam Ahmad tidak pernah diketahui menyebut apa-apa pun tentang (adanya sambutan) Malam Nisfu Syaaban… Tentang amalan berdoa sepanjang Malam Nisfu Syaaban, tidak ada riwayat yang sahih daripada Nabi (s.a.w) ataupun daripada Para Sahabat Baginda …”
Inilah apa yang telah disebutkan oleh al-Hafiz bin Rejab (R.A). Beliau menyatakan dengan jelas bahawa tidak ada langsung riwayat sahih daripada Rasulullah s.a.w mahupun daripada Sahabat-sahabat Baginda (R.A) mengenai Malam Nisfu Shaaban (pertengahan bulan Syaaban).

Imam Abu Bakr al-Tartushi (R.A) menyebut dalam kitabnya al-Hawadith wa’l-Bida’: “Ibn Waddah meriwayatkan bahawa Zayd bin Aslam berkata: Kami tidak pernah menemui seorang pun dari kalangan ulama dan and fuqaha’ kami yang memberi perhatian lebih kepada Malam Nisfu Shaaban, tidak ada juga yang memberi perhatian kepada hadith Makhul, atau yang beranggapan bahawa malam tersebut adalah lebih istimewa daripada malam-malam lain. Pernah ada orang mengadu kepada Ibnu Abi Maleekah bahawa Ziyad an-Numairi mengatakan bahawa pahala di Malam Nisfu Shaaban adalah menyamai pahala Lailatul-Qadar. Beliau menjawab, “Sekiranya aku dengar sendiri dia berkata begitu dan ada kayu di tanganku, pasti aku akan memukulnya (dengan kayu itu). Ziyad seorang pereka cerita.”

Al-Shaukani (R.A) berkata dalam al-Fawa’id al-Majmu’ah: “Hadith yang berbunyi: ‘Wahai ‘Ali, barangsiapa bersolat seratus rakaat di Malam Nisfu Shaaban, dengan membaca pada setiap rakaat Ummul Kitab [Surah al-Fatihah] dan Qul Huwallahu Ahad sepuluh kali, Allah akan memenuhi segala keperluannya…’ Hadis ini maudhu’ (rekaan semata-mata). Susunan katanya menyebut dengan jelas ganjaran yang akan diterima oleh orang yang melakukannya, dan tidak ada orang yang waras yang boleh meragui bahawa ‘hadis’ ini adalah rekaan. Lebih-lebih lagi, perawi dalam isnad hadis ini adalah majhul (tidak dikenali). ‘Hadis’ ini juga diriwayatkan melalui sanad yang lain, yang mana kesemua adalah direka dan kesemua perawinya adalah majhul (tidak diketahui asal usulnya).
Di dalam kitab al-Mukhtasar, beliau menukilkan: Hadith yang menyebut tentang solat di tengah bulan Syaaban adalah hadis palsu, dan hadis Ali yang diriwayatkan oleh Ibnu Hibban – “ Apabila tiba malam pertengahan Syaaban, penuhilah malamnya dengan solat dan berpuasalah di siang harinya” – adalah dhaif (lemah).

Di dalam kitab al-La’aali’ beliau berkata, “Seratus rakaat di pertengahan Syaaban, membaca (Surah) al-Ikhlas sepuluh kali di setiap rakaat… (hadis ini) adalah maudhu’ (direka), dan kesemua perawi dalam tiga isnadnya adalah majhul (tidak dikenali) dan dhaif (lemah). Katanya lagi: dan dua belas rakaat, membaca al-Ikhlaas tiga puluh kali setiap rakaat, ini juga adalah maudhu’; dan empat belas (rakaat), juga adalah maudhu’.
Beberapa orang fuqaha’ telah tertipu oleh hadis palsu ini, antaranya pengarang al-Ihya’ dan lain-lain, dan juga sebahagian ulama mufassirin. Solat khusus pada malam ini – pada pertengahan bulan Syaaban – telah diterangkan dalam pelbagai bentuk, kesemuanya adalah palsu dan direka-reka.”
Al-Hafiz al-‘Iraqi berkata: “Hadith tentang solat di malam pertengahan Syaaban adalah maudhu’, dan disandarkan secara palsu terhadap Rasulullah s.a.w.”
Imam al-Nawawi berkata di dalam bukunya al-Majmu’: “Sembahyang yang dikenali sebagai solat al-raghaa’ib, didirikan sebanyak dua belas rakaat antara Maghrib dan ‘Isyak pada malam Jumaat pertama pada bulan Rejab, dan sembahyang sunat Malam Nisfu Shaaban, sebanyak seratus rakaat – kedua-dua sembahyang ini adalah bid’ah yang tercela. Sepatutnya orang ramai tidak tertipu disebabkan perkara ini disebut dalam Qut al-Qulub dan Ihya’ ‘Ulum al-Din, atau oleh hadis-hadis yang disebutkan dalam kedua-dua kitab ini. Kesemuanya adalah palsu. Orang ramai juga tidak sepatutnya tertipu disebabkan kerana beberapa imam telah keliru dalam hal ini dan menulis beberapa helaian yang menyebut bahawa sembahyang ini adalah mustahabb (sunat), kerana dalam hal ini mereka tersilap.”

Dalam Sahih Muslim diriwayatkan bahawa Abu Hurarah (R.A) berkata: “Rasulullah s.a.w bersabda: ‘Janganlah kamu khususkan malam Jumaat untuk bersembahyang malam dan janganlah khususkan siang hari Jumaat untuk berpuasa, melainkan jika puasa di hari itu adalah sebahagian daripada puasa-puasa yang kamu amalkan berterusan-berterusan.’”
Seandainya dibenarkan untuk mengkhususkan mana-mana malam untuk amalan ibadah yang istimewa, sudah tentu malam Jumaat adalah yang paling sesuai, kerana siang hari Jumaat adalah hari yang paling baik bermula terbit mataharinya, sebagaimana disebutkan dalam hadis Sahih yang diriwayatkan daripada Rasulullah s.a.w. Memandangkan Nabi s.a.w sendiri melarang dari mengkhususkan malam tersebut untuk bertahajjud, itu menandakan bahawa adalah lebih dilarang sekiranya dikhususkan malam-malam lain untuk sebarang bentuk ibadat, kecuali di mana terdapat nas yang Sahih yang mengkhususkan malam tertentu.

Akan tetapi sekiranya disyariatkan untuk mengkhususkan malam pertengahan bulan Syaaban, atau malam Jumaat pertama di bulan Rejab, atau di malam Isra’ dan Mi’raj, dengan meraikannya ataupun dengan melakukan amalan ibadat yang khusus, maka sudah tentu Rasulullah s.a.w telah mengajar umatnya melakukannya, dan Baginda sendiri melakukannya. Jika pernah berlaku sedemikian, para Sahabat Baginda (R.A) pasti akan memperturunkan amalan amalan tersebut kepada umat terkemudian; tidak mungkin mereka menyembunyikan amalan daripada umat terkemudian, kerana mereka adalah generasi yang terbaik dan yang paling amanah selepas Rasulullah, radhiallahu `anhum, dan semoga Allah merahmati kesemua sahabat Rasulullah s.a.w.

Amalan khurafat dan bid'ah juga terlihat dilaksanakan oleh sebilangan jemaah haji yang menunaikan fardu haji saban tahun. Tabiat dan amalan perbuatan mereka itu jelas berbau khurafat dan bid'ah sehingga memeningkan kepala para ulama dan kerajaan Arab Saudi sendiri. Pernah kerajaan Arab Saudi ingin memindahkan Makam Ibrahim ke satu tempat yang lain semata-mata kerana tidak mahu jemaah melakukan perbuatan bid'ah dan khurafat di situ sehingga menyebabkan berlaku kesesakan semasa ibadat tawaf.

Kita memohon agar Allah membantu kita dan seluruh umat Islam untuk berpegang teguh kepada Sunnah dan menjauhi segala yang bertentangan dengannya, kerana Dialah yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang. Semoga Allah merahmati Pesuruh dan UtusanNya, Nabi kita Muhammad s.a.w, serta kesemua ahli keluarga dan Para Sahabat baginda.

Ulasan dan terjemahan fatwa : www.darulkautsar.com[Dipetik daripada Majmu’ Fatawa Samahat al-Sheikh ‘Abdul-‘Aziz bin Baz, 2/882]

Sunday, August 10, 2008

Ke mana arah tuju kita?

Sebagai guru, ke mana arah tuju dan haluan kita? Ke mana kita hendak membawa pelajar-pelajar kita? Kita mendidik dan mencorakkan pembentukan keperibadian mereka setiap hari. Saban hari kita bukan sahaja menyampaikan ilmu dan maklumat tetapi melakukan sedikit sebanyak proses pendidikan, walaupun kadangkala kita tidak menyedari proses itu berlaku. Kita seharusnya mempunyai wawasan tersendiri. Kita ada prinsip dan pegangan hidup kita sendiri. Kita tahu ke mana sebenarnya hendak di bawa anak-anak muda di hadapan kita. Kita sedar kita boleh merubah mereka. Kita sedar tanpa usaha gigih daripada para pendidik, anak-anak muda ini akan berterbangan seperti kelkatu. Mereka, kebanyakannya tiada pedoman, tiada arah tuju, tiada ketetapan diri..mereka terbiar begitu sahaja.

Ke mana ingin kita bawa mereka? Kita sedar betapa teruknya cabaran yang terpaksa mereka hadapi saban hari. Kita sedar mereka mudah terpengaruh dan mempengaruhi. Kita sedar mereka ialah golongan yang paling rapuh dan paling mudah runtuh. Hanya dengan sepatah dua kata, mereka sanggup menggadaikan maruah diri. Hanya dengan seringgit dua sahaja mereka boleh dibeli. Mereka ialah golongan yang paling senang menerima sebarang pengaruh. Pengaruh agama pun tidak terkecuali. Terfikirkah kita kedapatan segelintir remaja yang tidak mengetahui konsep asas akidah dan keimanan? Agama bagi mereka ialah acara rutin harian yang boleh dikerjakan atau boleh saja ditinggalkan. Begitulah rapuhnya iman mereka.
Ke mana kita hendak membawa mereka? Kita mengetahui dan menyedari semua gejala yang menimpa mereka. Tetapi apa yang telah kita lakukan? Apakah yang kita telah usahakan? Kita sebagai guru dan pendidik yang setiap hari berada dalam lingkungan mereka..apakah yang telah kita buat? Kita sebagai pentadbir pendidikan baik di sekolah ataupun di peringkat daerah mahupun yang berada di JPN dan di Kementerian, apa yang telah kita rancang?
Ke mana kita hendak membawa mereka? Bahagia atau derita?
Paling sedih, ada dalam kalangan kita yang kering dan layu. Kita sendiri tiada motivasi yang kukuh. Bagaimana kita hendak membina dan mencorakkan keperibadian jika kita sendiri lemah dan tidak bermaya? Kita meneruskan rutin kerja kita sebagai pendidik setiap hari dalam keadaan dan corak yang sama. Tiada perubahan, tiada langsung inovasi. Kita hanya bekerja sebagai seorang guru bukan seorang pendidik. Kita menyenaraikan begitu panjang alasan dan hujah bagi menegakkan benang yang basah. Kita menuding jari kepada siapa sahaja untuk menyelamatkan diri. Kita sering menyalahkan tidak memulihkan. Bila sampai masa penganugerahan pangkat dan kecemerlangan, kita berada di baris hadapan. Kita mengutuk orang yang tidak memandang kita. Kita sering mendabik dada bahawa kitalah yang terbaik. Orang lain semua tidak sebaik kita. Kita yang patut mendapat pangkat, orang lain tidak. Tetapi, kita sanggup melihat anak-anak didik kita bertaburan, berkeliaran, berkepitan. Langsung tiada usaha untuk membuat perubahan dan pemulihan. Di hadapan mata kita sendiripun kita terus membutakan mata dengan alasan mereka bukan pelajar kita, mereka bukan anak-anak kita. Biarlah guru di sekolah mereka yang mengatasinya. Dan, kita terus terusan tenggelam dalam prinsip dan pegangan kita yang kabur dan kelabu itu.
Tuan-tuan, ke mana kita hendak membawa mereka?

Saturday, July 26, 2008

MENGAPA KITA HARUS MEMOTIVASIKAN DIRI
1. Motivasi diri sendiri adalah tenaga yang mengangkat diri seseorang itu ke sebarang tahap yang diingininya. Tenaga itu ialah kuasa dalaman yang terdapat di dalam diri manusia. Minda ialah pusat kawalan tenaga tersebut.

2. Orang yang benar-benar berjaya sentiasa sedar akan tanggungjawab untuk memotivasikan diri sendiri. Dialah yang memiliki kunci penggerak dirinya.

3.Alasan yang lumrah yang menyebabkan kegagalan seseorang itu ialah pengabaian sama sekali tenaga motivasi yang terdapat di dalam diri sendiri.

4.Adalah sukar untuk memotivasikan diri orang lain, sebelum kita memotivasikan diri kita sendiri. Motivasi diri kita perlu kukuh dan mantap sebelum kita dapat memotivasikan org lain.

5.Peluang akan berada di mana-mana bagi seseorang yang menghayati dan mengamalkan motivasi diri sendiri.

6.Pada asasnya apa yang kita perolehi dari hidup ini bergantung kepada bagaimana kita menyesuaikan apa yang kita mahu dengan motivasi diri sendiri.

7.Tenaga motivasi diri sendiri datang dari satu tindakan rancangan peribadi teguh dan pelaksanaan rancangan tersebut dalam kehidupan kita setiap hari.

8.Jika kita tidak dapat memanfaatkan tenaga dan potensi diri sendiri maka mental kita akan terlantar sepanjang hayat.

Tuesday, March 4, 2008

THE POWER OF MIND

Bukan matamu yang buta…
Bukan matamu yang buta, tetapi hatimu didalam dada! AlHajj:46

Di atas adalah salah satu daripada ayat al-Quran yang amat saya gemari dan jadikan pegangan di dalam kehidupan saya ketika ini. Ayat di atas yang ditulis pada 1400 tahun dahulu amat tepat menunjukkan senario yang berlaku pada hari ini.Subhanallah , yang maha berkuasa dan maha mengetahui.

Saya juga tidak terkecuali daripada mengalami sindrom buta hati seperti yang dinyatakan oleh ALLAH di dalam Al-Quran, Sesungguhnya Al-Quran itu benar. Alhamdulillah, saya cepat disedarkan, namun segalanya adalah perancangan daripadaNya yang maha Pengasih dan maha Penyayang.
Terlalu ramai diantara kita mempunyai sindrom seperti ini. Jika ditegur bagi menyatakan kebenaran, dikatakan mencari kesalahan bagi sesetengah individu. Itulah salah satu sifat, bagi manusia yang buta mata hatinya, seolah-olah manusia ini adalah paling sempurna sifatnya, maksum seperti Rasulullah yang dipelihara daripada melakukan sebarang kesilapan atau kesalahan. Individu ini lupa, hidupnya adalah milik ALLAH, segala perancangan adalah datang dari ALLAH. Jika celik mata hatinya, pasti akan melihat ianya sesuatu yang positif . Tetapi bagi yang buta mata hatinya ianya akan dianggap sebagai satu serangan peribadi. Kerana itulah kita perlu mengosongkan jiwa daripada sesuatu yang negatif, supaya kita dapat mendengar adanya suara hati yang dihantar oleh ALLAH, untuk memandu arah perjalanan hidup kita.
Golongan yang buta hatinya juga, amat takut hidup susah. Takut hilang jawatannya. Takut hilang pendapatannya kerana hatinya buta mengenali siapakah pemberi rezeki yang sebenar. Seolah-olah seluruh kehidupannya hanya untuk menjadi hamba kepada majikan, menjadi hamba kepada wang. Tanpa mereka sedar bahawa mereka telah menyekutukan dan melupakan ALLAH . Tetapi tidak bagi golongan yang celik mata hatinya, kerana sentiasa sedar segala kekayaan , wang dan harta benda adalah milik ALLAH, sentiasa yakin sifat maha pengasih dan penyayang yang sentiasa menjanjikan rezeki kepada hambanya, kerana itulah kita perlu berprasangka baik kepadaNya. Sentiasa berdoa dan membayangkan sesuatu yang positif .
Inilah yang dikatakan LOA oleh barat. Tiba-tiba ketika saya bangkit dari tidur hari ini, dalam hati saya, Saya mengatakan LOA adalah senario yang berlaku kepada golongan yang celik mata hatinya. Mengapa?.
Kerana golongan yang celik hatinya sentiasa berfikiran positif, golongan yang celik hatinya sentiasa berdoa, bukankah di dalam loa, kita juga perlu meminta. Golongan yang celik hatinya akan sentiasa percaya ALLAH memberikan yang terbaik untuk dirinya. Begitu juga LOA, kita perlu percaya. Orang yang celik mata hatinya sentiasa menerima dengan redha apa saja yang ditentukan oleh ALLAH. Menerima adalah salah satu syarat penting dalam LOA.
Subhanallah, saya tidak pernah merancang apa yang ingin di tulis di atas, tetapi hari ini saya dapat mengetahui satu lagi perkara mengenai LOA. ALLAH itu Maha pengatur kehidupan. Tidak sia-sia , ALLAH menguji saya dua hari lepas, ketika saya cuba menyatakan kebenaran. Rupa-rupanya ALLAH ingin memberitahu satu lagi kebenaran tentang LOA di sisiNya, pada hari ini . ALLAHUAKBAR!

-->
Realiti hidup bermula dari minda
Individu yang berjaya sentiasa memikirkan apa yang diinginkan dan berusaha menjadikan ianya sebagai satu realiti. Sekiranya kita sentiasa memikirkan apa yang diinginkan ianya kan membentuk imej diri kita.
Individu yang berjaya sentiasa didorong oleh keinginan-keinginannya itu dan tak sempat memikirkan yang sebaliknya atau apa yang tidak diinginkannya.
Sementara, individu biasa lebih banyak berfikir tentang apa yang tidak diinginkan, sesuatu yang perlu dihindari dan ditakuti. Akhirnya dia menjadi dan memperolehi apa yang cuba dihindarinya itu.Individu ini takut hidup susah, akhirnya hidup menjadi benar-benar susah. Takut gagal, akhirnya hidupnya benar-benar gagal. Takut tak ada duit, akhirnya benar-benar tak ada duit. Takut tidak dapat bayar hutang, akhirnya hutang semakin bertimbun.
Minda bawah sedar amat bodoh, semua perkara dianggap benar, tidak kira ianya positif atau negatif dan walaupun kita tidak menginginkannya fikiran kita akan mentafsirkan sebagai sesuatu yang benar.
Anda boleh praktikkan, jika saya kata jangan bayangkan muka Tun Mahathir, saya jamin anda akan tetap membayangkan wajah Tun Mahathir,. Itulah minda separa sedar.Jadi jika minda anda sentiasa diasak dengan gambaran yang negatif, negatiflah jadinya hidup anda.

MOTIVASI UNTUK SEMUA

Assalamualaikum wbh.

Blog ini dikhususkan kepada para guru dan pelajar yang ingin meningkatkan prestasi dan keupayaan minda dan mental agar menjadi lebih baik dan lebih berkesan dalam semua hasil pekerjaan yang kita lalui sepanjang kehidupan kita di dunia yang fana ini

RASULULLAH bersabda yang maksudnya: “Barang siapa membaca Ayat Kursi selesai sembahyang fardu maka Allah memerintahkan malaikat maut berhati-hati ketika mencabut nyawanya dan ia seperti mujahid yang berperang membela para Nabi hingga akhirnya ia mati syahid.” Itulah antara keistimewaan dan fadhilat Surah Kursi yang diturunkan Allah bersama dengan tujuh puluh ribu malaikat.
Surah itu mempunyai banyak fadhilat jika diamalkan oleh umat Islam kerana keagungan surah berkenaan.
Ayat Kursi terkandung dalam Surah Al Baqarah ayat 255 yang maksudnya: “Allah, tidak ada Tuhan melainkan Dia yang hidup kekal lagi terus-menerus mengurus makhluk-Nya, tidak mengantuk dan tidak pula tidur. Kepunyaan-Nya segala apa yang ada di langit dan di bumi. Siapakah yang dapat memberi syafaat di sisi Allah tanpa izin-Nya? Allah mengetahui apa-apa yang ada di hadapan dan di belakang mereka dan mereka tidak mengetahui apa-apa dari ilmu Allah, melainkan apa yang dikehendaki-Nya. Kursi (kekuasaan) Allah meliputi langit dan bumi dan Allah tidak merasa berat memelihara keduanya dan Allah Maha Tinggi lagi Maha Agung.”
Kelebihan ayat ini jika dibaca sebelum melangkah keluar dari rumah maka Allah mengirimkan tujuh puluh ribu malaikat yang mendoa dan meminta keampunan-Nya.
Ini adalah kerana ayat Kursi adalah ayat yang paling agung seperti sabda Nabi Muhammad SAW yang maksudnya: “Sesungguhnya seagung-agung ayat al­-Quran adalah Ayat Kursi dan barang siapa yang membacanya nescaya Allah mengutuskan malaikat untuk menulis dari kebaikannya dan menghapus keburukan hingga esok.
Rasulullah juga pernah berpesan kepasa Saidina Ali yang maksudnya: “Apabila engkau berkehendakkan sesuatu hajat, bacalah ayat Kursi kemudian langkahkan kaki kanan. Mudah-mudahan apa-apa dihajati akan diperkenankan oleh Allah.”
Keagungan ayat ini juga pernah diperkatakan Abu Hamid Al-Ghazali yang memberi beberapa cara untuk menghilangkan rasa duka dan susah dengan membaca surah itu sebanyak 313 kali antaranya selepas solat Isyak, di tempat sunyi, dengan wuduk sempurna dan ketika tengah malam selesai sahaja membaca ayat itu, berdoalah kepada Tuhan sebanyak tujuh kali dan mintalah apa yang dihajatkan, nescaya Allah akan memakbulkanya.
Rasulullah juga bersabda: Sesiapa membaca ayat Kursi sehabis solat, maka tidak terhalang untuk masuk syurga, kecuali kematian.”
Antara fadhilat lain: Membaca ayat itu ketika hendak tidur, terpelihara dari kejahatan jin, syaitan, manusia dan binatang.
Sesiapa yang membaca Ayat Kursi setiap pagi, Allah akan memelihara dari kejahatan pada hari itu dan jika dibaca pada malam hari maka terpelihara dari kejahatan sampai pagi.