Sunday, August 31, 2008

Bersyukurlah..kita masih bernyawa pada Ramadhan ini..



Sempena ketibaan bulan Ramadhan 1429H, saya mengucapkan selamat berpuasa kepada para pembaca sekalian. Semoga kita dapat mengambil peluang dengan kedatangan bulan rahmat dan maghfirah ini. Bulan yang diberi peluang oleh Allah untuk mendapatkan maghfirah-Nya, iaitu dengan puasa dan qiyam. Sabda Nabi SAW: “Sesiapa berpuasa Ramadhan dengan keimanan dan mengharapkan ganjaran, maka diampunkan dosa-dosanya yang lalu”. (Bukhari: 38, dan Muslim: 760). Sabda Nabi SAW lagi, “Sesiapa mendirikan malam (dengan ibadah) pada Ramadhan dengan keimanan dan mengharapkan ganjaran, maka diampunkan dosa-dosanya yang lalu”. (Bukhari: 37, dan Muslim: 759).


Maka bertuahlah sesiapa yang menahan lapar dan dahaga kerana Allah. Bertuahlah sesiapa yang menahan matanya berjaga malam kerana berdiri menghadap Allah. Dan bertuahlah sesiapa yang keluar daripada bulan ini dengan mendapat keampunan daripada-Nya. Mari sama-sama bermohon kepada Allah dengan segala nama-namaNya yang maha elok, dan sfat-sifatNya yang maha tinggi, supaya memberikan kita kekuatan untuk merebut peluang ini.


Oleh hal yang demikian, dengan keberkatan dan kemuliaan Ramadhan 1429H, adalah sesuatu yang amat merugikan kepada kita semua jika masih menyimpan bara konflik di dalam diri. Kita telah diberi kesempatan, saya ulang..kita TELAH DIBERI KESEMPATAN oleh Allah SWT untuk bernyawa pada Ramadhan ini. Tidakkah kita terfikir berapa ramai umat manusia yang TIDAK BERKESEMPATAN untuk menghirup udara Ramadhan 1429H? Berapa ramaikah rakan-rakan kita yang telah meninggalkan dunia yang fana ini dan tidak berkesempatan menemui Ramadhan 1429H? Kita ialah antara manusia umat Muhammad yang sangat bertuah kerana berjaya hidup setakat ini dalam keadaan yang aman bahagia dan sejahtera. Inilah prinsip asas kerendahan diri kita sebagai manusia. Tunduklah dan lihatlah bumi Allah. Betapa kerdilnya kita. Betapa lemahnya kita. Masih sanggupkah kita berlagak angkuh dengan pegangan dan prinsip yang sangat rapuh? Masih relakah kita menyimpan bara api konflik yang tidak padam-padam itu.

Tuan-tuan...siramilah bara itu. Padamkan api yang masih menyala. Hayatilah ketibaan Ramadhan 1429H dengan rasa khusyuk dan tawadhuk.


Selamat Berpuasa.

No comments: